Ujian Dan Nikmat

Pejam celik pejam celik anak saya dah masuk 2 tahun setengah. Bila ingat-ingat semula perkara-perkara sebelum saya mengandung, saat sedang mengandung, melahirkan, membesarkan, bagai tidak terasa pantasnya masa berlalu. Rasa macam sekejap sangat.

Bila diingat-ingat kembali, terasa betapa besarnya nikmat yang Allah SWT beri. Walaupun kami lambat mendapat cahaya mata, tapi Allah beri juga. Nikmat makan makanan yang lazat, nikmat penglihatan yang jelas, nikmat berkata-kata, nikmat mendengar dan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Tidak semua hambaNya dapat menikmati semua nikmat-nikmatNya ini. Ramai juga mereka diluar sana yang tidak dapat merasai sebahagian nikmat Allah SWT. Walau bagaimanapun, tidak pula mereka ini tergolong dalam golongan orang yang tidak disayangi oleh Allah SWT, sebaliknya, mereka adalah orang terpilih untuk menikmati kehidupan ini tanpa merasai sebahagian dari nikmat yang Allah SWT berikan kepada hambaNya yang lain.

"Kesian dik." Saya teringat kata-kata kakak saya ketika melawat anak saudara perempuan saya di HKL pada tahun 2010. Anak saudara saya tidak dapat melihat sebelah mata dan hanya disedari oleh kakak saya setelah usianya 10 tahun. Patutlah kakak saya selalu perasan anaknya sering ketinggalan dalam pelajaran. Selalu lambat menyalin nota yang cikgu tulis di papan hitam. Dan cikgu selalu memberitahu mengenai masalah ini kepada ibunya. Namun, anak saudara saya tidak pula pernah mengadu yang dia tidak nampak sebelah mata kepada ibu bapanya. Jadi, kakak saya tidak beranggapan apa-apa. Sehinggalah pada satu hari, dia melihat mata anaknya bercahaya dari satu sudut pandangan. Dia bertanya pada anaknya waktu itu juga. Apabila disuruh menutup mata yang satu lagi, anak saudara saya tidak dapat melihat apa-apa. Katanya, apa yang dia nampak hanyalah warna biru. Pada waktu itu hanya Tuhan yang tahu apa yang dirasa ibunya. Kakak saya segera menelefon saya dan memberitahu perkara itu. Saya pula yang menjadi serba tidak kena. Berharap agar itu hanya sementara. Berharap ianya hanyalah mimpi. Berharap kakak saya kembali menelefon memberitahu mata anaknya tidak apa-apa.

Dalam waktu itu saya mencadangkan kakak saya membawa anaknya untuk pemeriksaan di hospital. Dia seterusnya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Disinilah saya berjumpa dengan ramai kanak-kanak hebat dan ibu bapa yang hebat ini.

"Kita ingat anak kita dah teruk. Tapi ada lagi yang lebih teruk." Kata kakak saya. "Hari ni ada 2 orang lagi yang baru masuk. Semuanya kanser dik. Sebelah kiri dan kanan akak. Sorang perempuan, sorang lagi lelaki. Comel-comel. Baru 2 tahun. " Saya teringat kata-kata kakak saya diperbualan telefon sehari sebelumnya.

Apabila saya sampai di hospital, "Yang lelaki tu kesian dik, benda tu dah besar, dah besar ni." Kakak saya menunjukkan penumbuknya. Saya bagaikan tidak percaya. "Dia asyik menangis je. Akak tengok hari pertama dia datang lagi akak tak perasan air mata akak mengalir. Tak sampai hati."

Saya melihat ibu dan bapanya. Keduanya biasa sahaja. Saat bertembung mata, tersenyum. Berbicara keduanya, tersenyum juga. Saya ingin melihat anaknya. Tapi saya bimbang ibunya akan merasa malu jika tiba-tiba saya datang ingin melihat anaknya. Saya pendamkan hasrat itu. Memikirkan kata-kata kakak saya, mana mungkin, dari sekecil duit 50 sen boleh menjadi sebesar penumbuk.

Esoknya saya datang lagi bersama ayah saya dan suami. Kali ini saya bersalam dengan ibunya. Sempat saya menjenguk ke dalam buaian. "Tidur ke?" Saya bertanya ibunya. "A'ah tidur." Saat terlihat anak itu, saya beristighfar. Terkejut. Tapi saya kawal agar ibunya tidak perasan. Saya bimbang ibunya berkecil hati. Sungguh benar apa yang dikata kakak saya. Sungguh berat dugaan yang Allah SWT berikan kepada ibu dan anak ini.

Dalam hati kecil saya, sungguh tabah ibu ini. Melihat anak yang disayangi kesakitan, masih sempat tersenyum tatkala disapa pengunjung. Saya menahan sebak. Sakit rasanya di dada akibat menahan air mata daripada keluar. Tak terbayang rasanya kesakitan yang dialami anak ini. Kita, walau hanya sedikit kudis pun sudah terasa sakitnya. Inikan pula dia yang masih kecil. Tubuh masih dibelai ibu. Masih belum betah berbicara. Tapi menanggung sakit akibat kanser.

Mata anak itu telahpun dibuang sebelah kerana doktor bimbang kansernya akan merebak ke sebelah lagi. Saya pun dah lama tak dengar cerita tentang dia. Usianya waktu itu lebih kurang usia anak saya. Sekarang mungkin dia sudah berumur 7-8 tahun. Semoga dia sembuh sepenuhnya dari kanser dan dia sekeluarga akan terus tabah.

Begitu juga yang seorang lagi (kanak-kanak perempuan). Juga telah dibuang sebelah mata. Saya sempat melihat matanya sebelum pembedahan membuang matanya dijalankan. Matanya yang terkena kanser itu, nampak bersinar. Anak matanya telah bertukar menjadi kuning oren.

Anak saudara saya pula? Kini, dia juga hanya dapat melihat menggunakan sebelah matanya sahaja. Hasil dari diagnosis menunjukkan urat matanya bocor dan protein telah keluar dari tempat yang bocor itu. Bukan hanya sebelah matanya, tetapi keduanya. Cuma mata yang sebelah lagi masih boleh diselamatkan kerana masih tidak banyak protein yang keluar dan lubang-lubang tersebut masih boleh ditutup. Manakala mata yang sebelah lagi tidak dapat diselamatkan kerana cecair protein telah memenuhi hampir ke seluruh mata. Setelah cecair tersebut disedut, matanya pula terus mengecut. Saya rasa masalah itu terjadi sejak dia masih kecil lagi sehinggakan dia tidak dapat membezakan melihat dengan 2 mata dan melihat dengan 1 mata. Sebab itu dia tidak mengadu masalah ini kepada ibu bapanya.

Bila mengingatkan anak saudara saya yang seorang ini, hati saya akan terasa sebak. Merasa kami terlalu lambat bertindak. Merasa ralat, matanya tidak dapat diselamatkan. Terasa seperti ada cara lain selain dari menyedut cecair sehingga matanya menjadi kecut. Tapi semuanya telah tertulis. Takdir Allah SWT buat dirinya dan kami sekeluarga. Dan kami akhirnya redha. Semoga dia menjadi anak yang solehah. Tidak merasa rendah diri dengan kekurangannya.

Kadang-kadang saya cuba melihat dengan sebelah mata. Ingin melihat bagaimanakah pandangan matanya dengan melihat hanya menggunakan sebelah mata. Sebak. Insaf.

Kadang kala kita merasa ujian yang Allah SWT beri kepada kita seperti tidak dapat ditanggung lagi. Kita tidak dapat menerima hakikat. Tidak merasa ini sebahagian ujian hidup kita. Hingga ada masanya kita bertindak diluar batasan. Hingga kita lupa, ada orang lain yang diberikan ujian yang lebih berat tapi mereka masih mampu tersenyum. Bukan kerana mereka gembira, tapi kerana mereka redha. Percaya setiap ujian itu ada hikmahnya, melihat ujian sebagai nikmat dan mereka sedang menghitung pahala.

Suri

No comments:

Post a Comment